Tuesday, May 12, 2009

Tahniah UMNO

Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke 63

UMNO

Semoga UMNO akan terus relevan dan kekal sebagai parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan Islam khususnya. Dalam arus perjuangan politik yang tidak menentu ini pasti rata-rata yang mengganggap perjuangan UMNO adalah perjuangan lapuk.

Oleh itu kita seharusnya bersedia berubah & melakukan muhasabah diri bagi memastikan kelangsungan dan survivalnya sebagai parti yang menjadi tunggak pemerintahan negara. UMNO kini perlu peka dengan perubahan sekeliling bagi mengekalkan kedudukannya di hati rakyat.

Insyallah
sama-sama kita doakan UMNO berkekalan sehingga bila-bila demi menjaga hak dan kepentingan orang Melayu di tanah air sendiri.

Monday, May 4, 2009

UMNO & PERUBAHAN

UMNO sebagai tunjang dalam pentadbiran kerajaan bersama-sama parti-parti komponan Barisan Nasional (BN) yang ada hari ini masih tetap berpegang kepada asas dan tujuan asal penubuhannya iaitu sebagai sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan Negara.

Namun demikian, biarpun misi dan visinya tidak pernah berubah walaupun usia UMNO akan genap 63 tahun lebih seminggu lagi tetapi parti tersebut tidak pernah menolak sebarang perubahan apatah lagi apabila ia membawa kebaikan kepada bangsa, agama dan Negara yang diperjuangkannya.

Dalam kesinambungan mengamalkan perpaduan dari sejak sebelum merdeka lagi, UMNO sentiasa menunjukkan sikap lebih bertoleransi apatah lagi dalam hubungan dengan parti-parti komponen.

Sepanjang lebih enam dasawarsa ini, UMNO bukan sahaja mengamalkan pembaharuan dalam aspek-aspek pentadbirannya malah perubahan tampuk kepimpinannya juga sentiasa berlangsung dengan tertib dan lancar tanpa sebarang pertelingkahan yang berlaku.

Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden baru telah membincangkan tentang langkah-langkah yang perlu diambil oleh UMNO dengan komitmen terhadap perubahan dan pembaharuan kepada parti, BN dan kerajaan sendiri agar kesejahteraan dan keselesaan rakyat dapat dikekalkan.

Namun demikian, sejak akhir-akhir ini mula muncul persoalan di kalangan anak bangsa berkaitan masih relevankah UMNO dalam menerajui perjuangan untuk terus menongkah arus membawa kemajuan dan kecemerlangan kepada masyarakat keseluruhannya.

Dalam situasi yang tidak menentu ini, terdapat segelintir pihak yang sengaja menimbulkan pelbagai isu termasuklah menunding jari mempersalahkan UMNO atas segala kerumitan yang berlaku.

Kononnya UMNO menjadi dalang dalam pelbagai aspek, tidak kiralah permasalahan apa pun yang timbul, baik dari sudut politik, ekonomi, sosial dan pendidikan sekalipun.

Dalam hal ini, ada pihak yang sengaja menjadi dalang dalam membayangi minda rakyat untuk membenci UMNO, meletakkan setiap kesalahan atas galas bahu UMNO dan lebih teruk lagi berusaha untuk menghancurkan UMNO bukan sahaja dari luar malah meletakkan gunting dalam lipatan agar UMNO dengan sendirinya punah dari dalam.

Realiti sebenar UMNO dikaburkan oleh pihak tertentu iaitu sebagai parti yang terbesar dan menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak dan pemimpin-pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar untuk kesejahteraan semua.

Sesungguhnya, apa yang lebih penting, UMNO tidak pernah bersikap tertutup atau enggan menerima sebarang pandangan sebaliknya UMNO sebagai parti yang unggul bersikap positif dalam pelbagai aspek sama ada dari segi pentadbiran dan perubahan-perubahan lain.

Bersandarkan kepada pilihan raya-pilihan raya yang telah dilalui oleh UMNO bersama-sama parti-parti komponen BN, memang ada pasang dan surutnya malah tidak ada dalam sejarah bahawa BN menang dalam semua pertandingan dan begitu juga, BN tidak pernah tewas sejak pilihan raya yang pertama diadakan.

Namun demikian, UMNO/BN sedar, pilihan raya umum ke-12 lalu pahit untuk diterima tetapi itulah hakikat yang terpaksa dilalui walaupun realitinya bukan mudah sedangkan pihak pembangkang sendiri juga sesungguhnya tidak pernah menyangka yang mereka akan menang dibeberapa negeri. Kerana itulah pelbagai kekecohan muncul selepas itu.

Lantaran itu, perubahan dilakukan dengan perancangan rapi dan teliti, membaiki segala kerosakan, ketirisan dikenalpasti dan kepincangan diatasi agar prinsip taat setia yang patut dipegang oleh setiap ahli dan anggota dapat terus dikekalkan. Begitu juga dengan rakyat yang menjadi pengundi.

Apapun, sesungguhnya rakyat masih tetap memerlukan UMNO sebagai parti politik yang menjadi tulang belakang dalam pembentukan kerajaan. Peranan yang dimainkan oleh UMNO bukan hanya sebagai pejuang dalam politik semata-mata sebaliknya ia mencakupi keseluruhan kehidupan dan sosial tanpa menidakkan sebarang usaha ke arah kebersamaan termasuklah dalam kehidupan berbilang bangsa, pelbagai budaya dan perbezaan agama.

Dalam kesediaan UMNO untuk berubah, parti tersebut tidak pernah lupa untuk memberikan khidmat bakti kepada rakyat keseluruhannya, kerana sesungguhnya UMNO bukanlah sekadar sebuah parti politik semata-mata sebaliknya ia adalah lambang sebuah bangsa, tulin dalam perjuangan berteraskan agama dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Nilailah kembali!


Petikan dari UMNO ONLINE